Wali Enggan - Nikah tanpa wali hadir bersama
MENGURUS NIKAH DI THAILAND
Pasangan masih boleh nikah di Pejabat Agama tanpa wali nasab sekiranya wali enggan menikahkan.
Dalam pada itu, para Fuqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak.
Kalau wali enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, perempuan itu boleh membuat aduan di mahkamah syariah untuk penyelesaian dan mahkamah boleh melantik wali hakim, kalau perlu.
Perempuan itu boleh juga menjauhkan diri dari wali sejauh 2 marhalah atau lebih, dan nikah di pejabat agama di sana menggunakan wali am atau wali hakim yang dilantik oleh Kerajaan di tempat nikah itu.
Ada beberapa hadith yang menjelaskan bahawa nikah tanpa wali adalah tidak sah. Tetapi, ini tak bermakna bahawa tak sah nikah kalau ayah atau wali nasab yang lain tak mahu mewalikan. Ada juga hadith yang menyebut
"Sultan menjadi wali bagi wanita yang tidak punya wali". [HR. Abu Dawud Ath-Thayalisi].
Maksudnya, kalau tiada wali nasab atau wali enggan atau tiada wali nasab dalam jarak 2 marhalah, maka pemerintah di tempat nikah boleh melantik wali hakim untuk perempuan berkenaan.
Kalau tak ada wali nasab dan tak ada wali hakim dalam jarak dua marhalah, barulah boleh menggunakan wali tahkim (yang dilantik sendiri).
Kalau di Malaysia, semua tempat ada wali hakim. Jadi, tak sah nikah tanpa wali yang dilantik oleh Pejabat Agama, selain wali nasab.
Diriwayatkan dari Ma'qil bin Yasar, ia berkata: "Saya mempunyai saudara perempuan . Ia dipinang oleh seorang pemuda yang mempunyai pertalian darah dengan saya. Saya kahwinkan perempuan itu dengan pemuda tersebut, kemudian diceraikan dengan talak yang boleh dirujuk. Perempuan itu ditinggalkan sampai habis eddahnya. Tidak berapa lama kemudian, pemuda itu datang lagi untuk meminang, maka saya jawab:"Demi Allah, saya tidak akan mengahwinkan engkau dengan dia selama-lamanya". Peristiwa ini disampaikan kepada Nabi saw. Berhubung dengan peristiwa ini, Allah swt menurunkan ayat Al-Quran :
"Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis masa eddahnya, maka janganlah kamu menghalangi mereka kahwin dengan bakal suaminya". (Al-Baqarah : 232)
Kemudian Ma'qil berkata: "Kemudian saya membayar kifarah sumpah dan perempuan itu saya kahwinkan dengan lelaki berkenaan". (Riwayat Al-Bukhari dan Abu Daud)
Seorang wali hanya boleh menghalang perempuan yang dalam kewaliannya dari berkahwin jika ada alasan syarak untuk berbuat demikian. Jika tiada alasan syarak, maka wali tak boleh menghalang pernikahan itu.
Oleh yang demikian, perbuatan wali enggan menikahkan atau menghalang wanita nikah tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.
Menurut Syafi'e, Maliki dan Hambali, apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakim lah yang menikahkannya. Rasulullah saw bersabda: "Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali". (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
Dalam kes Azizah bte Mat lawan Mat bin Salleh (1976, Jld. II, I JH) mengenai wali enggan di Mahkamah Kadi Perlis, Yang Arif Kadhi Mahmood bin Lebai Man (pada masa itu) memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali hakim untuk dia berkahwin dengan Mansor bin Isa dengan mas kahwin dan belanja yang tidak ditetapkan.
Fakta kes itu adalah seperti berikut: Seorang perempuan telah menuntut di Mahkamah Kadhi supaya ia dikahwinkan dengan Mansor bin Isa secara wali hakim kerana bapanya enggan mewalikannya dalam perkahwinan itu dengan mas kahwin sebanyak RM80.00 dan hantaran RM202.00 tunai.
Pihak bakal suami telah mencuba beberapa kali untuk meminang perempuan tetapi dihalang oleh bapa dengan alasan "Tunggulah dulu sehingga anak perempuannya mendapat pekerjaan". Bakal suami itu bekerja sebagai Pembantu Audit.
Kadhi ketika memutuskan kes itu menyatakan :
Berdasarkan kepada hukum syarak, apabila seseorang itu tidak mahu mewalikan nikah anaknya kerana enggan atau berselisihfaham, maka bolehlah dinikahkan perempuan itu oleh wali hakim dengan alasan:
Pertama: Daripada Aisyah r.a. Nabi saw bersabda:
"Jika mereka berselisih , maka Sultan atau Rajalah wali bagi orang yang tidak ada wali". (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan At-Tirmizi)
Kedua: Rasulullah saw bersabda:
"Kalau datang kepadamu lelaki beragama dan berakhlak baik, maka nikahkanlah ia. Jika kamu tidak melakukannya nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar". (Riwayat At-Tirmizi)
Menurut undang-undang Malaysia, kes wali enggan perlu dibawa ke mahkamah syariah untuk penyelesaian. Pada pandangan kami, ini adalah jalan penyelesaian yang baik jika ia tidak mengakibatkan hubungan anak dan ayah (dan mungkin juga ahli-ahli keluarga yang lain) menjadi kucar-kacir atau terus terputus.
Kami kira, tak ramai bapa yang sanggup menerima hakikat bahawa anak mereka sendiri sanggup menyeret mereka ke mahkamah. Sudah tentu kebanyakan bapa akan merasa teramat marah terhadap anaknya, dan ini memungkinkan hubungan anak dan ayah menjadi terputus.
Pada pandangan kami, menyeret bapa ke mahkamah disebabkan kes wali enggan, biarlah dielakkan seboleh-bolehnya, supaya anak tak dikatakan anak derhaka.
Cara penyelesaian yang lebih baik (sekiranya tak sanggup memutuskan hubungan) ialah menghalalkan hubungan dengan nikah di Pejabat Agama di Thailand, walaupun tanpa wali nasab, supaya zina dapat dielakkan. Bila pulang ke Malaysia, teruskan usaha untuk memujuk wali.